Tuesday, June 11, 2013

Buaian angin Jun.



Ombak menderu seperti biasa. Bukan seperti di kala amukan Tsunami. Namun, hatiku berbisik, andai kata ada Tsunami melanda tika ini, aku rela. Rela dalam ketenangan kala ini. Di suatu sudut hati kecilku yang lain. Ah! Kau sudah bersedia untuk mati? Dosa yang kau buat selama ini, bagaimana? 

Air masin yang melalui kakiku yang ditenggalami pasir pantai. Kakiku bagaikan ditarik-tarik agar turut sama dengan ombak yang berlalu surut dariku. Tatkala ia datang kembali, satu perasaan yang sukar diungkap di jiwa. Segala bebanan bagai menghilang, tidak perlu memikirkan masalah dunia lagi. Hanya aku, pantai,angin yang bertiup tika ini, berbicara.

Ku lihat Laut China Selatan terbentang luas di hadapanku, bersama cahaya matahari yang masih lagi menampakkan cahayanya sedikit di ufuk barat, betapa ini hanyalah syurga dunia. Dunia semata. Tapi ini dunia yang menyenangkan kerana adanya alam di sekelilingku. Yang setia bertasbih pada Ilahi.

Oleh sebab itulah rasa ketenangan itu tidak dapat diungkap jika dibandingkan tatkala berada di tengah hutan bandar. Konkrit semata.! Batu yang tinggi menjadi kebanggaaan sedangkan Allah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Kaya dipinggirkan. Siapakah kita kalau bukan manusia cuma?

Daripada tanah kita dijadikan, kepada tanah jualah kita kembali. Aku berasa kelembutan dan kesucian pada kaki dan tanganku selepas diurut kasar dengan pasir pantai. Menghilangkan segala kekotoran yang ada.
Satu suara menjerit pada ku di suatu sudut otak. Apakah kita hanya mahu cantik di luar, dipuji segala namun hati penuh dosa.? Dosa berdaki yang melekat ke seluruh raga, mahu dirawat dengan apa? Dengan pasir pantai juga? Tidak. 

Tunduk, sujud, patuh, syukur, sabar, tsabat pada jalannya itu lebih bermakna untuk mendapat syurga di sana.


1 comment:

Unknown said...

That is Good


Follow n comment done, back visited to http://eliryc.blogspot.com/