Wednesday, December 04, 2013

Cerpen - Sinaran Sungai Yarra

CERPEN: SINARAN SUNGAI YARRA.
OLEH: LYDIA MUSTAFAR

Cuaca kelihatan cerah di luar Lapangan Terbang Tullamarine. Langitnya biru, tetap sama seperti di Malaysia. Dengan jiwa yang berbunga-bunga riang, aku bersama teman rapatku, Nabilah melangkah keluar daripada ruang lapangan terbang tersebut tanpa mempedulikan Puan Asiah dan sahabat-sahabatku yang lain. Tanpa disedari, kami berdua kaku di luar. Angin sejuk yang berhembus halus ke pipiku, menyedarkan kami bahawa kami semua berada di negara orang. Bukan di Malaysia yang bebas berjalan ke sana ke mari dalam cuaca yang panas dan lembap.

“Waa, heaven!” jeritku sambil kedua-dua tanganku di angkat ke udara. Puan Asiah dan Encik Zamri yang ikut sama keluar daripada ruangan lapangan terbang itu hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum melihat telatah anak muridnya itu. Jiwa remajalah katakan. Teruja. Walaubagaimanapun, semua peserta rombongan tetap mengkagumi suasana cantik dan dingin Bandar Melbourne yang sungguh menyamankan itu. Aku merenung jauh ke jalan raya yang sedang sibuk dengan berbagai-bagai jenis kereta dan basikal, memori semalam di Lapangan Terbang LCCT kembali terakam di projector mindaku.
***
Hening sekali malam itu rasanya. Suasana hujan di luar Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Sepang itu bagai mengerti kesedihan yang disimpan kemas di lubuk hatiku. Masakan tidak, selama ini aku tidak pernah berjauhan dengan keluargaku, dan hari ini satu ‘pecahan ais’ akan berlaku pada diri aku. Ah, aku bukan lagi anak kecil untuk menangisi diri aku yang bakal berjauhan daripada keluarga. “Aku sudah besar, sudah mampu berdikari. Lagipun, tak lama, sekejap sahaja kan.” Detik aku di dalam hati.

Menunaikan impianku sejak kecil untuk melancong ke Australia bukanlah suatu perkara yang diangan-angankan lagi dan ini adalah saatnya di mana aku benar-benar akan berangkat ke bumi Kangaroo itu. Benarlah apa yang aku dengarkan daripada mana – mana penceramah terkenal, jika mahu mencapai sesuatu impian, tulislah di atas kertas, dan lihatlah hasilnya beberapa tahun akan datang. Tanpa kita sedari, impian-impian itu telah tercapai. Percaya atau tidak, impian aku untuk melancong ke Australia telah aku tulis sejak dari darjah lima, dan sekarang di saat aku di tingkatan lima, aku berjaya, melaksanakan impian itu.

Segala persiapan daripada segi urusan emigresen, bagasi dan visa telah disiapkan. Perkara yang perlu aku bawa ketika naik di atas badan pesawat hanyalah beg galas Samsonite dan blazer berwarna biru kehitaman. Telefon bimbit iPhone yang berwarna perak itu aku keluarkan daripada sarung telefon. Aku menaip pantas mesej kepada orang yang teristimewa di hatiku. “Awak, Effa dah nak berlepas ni, nanti dah sampai Effa sms lagi.” Selang dua minit kemudian, mesej itu dibalas. “Ok. Take care tau.”
***
“Haifa, please get in the bus.” Madam Kenchana memanggilku yang masih lagi dalam lamunan. Aku membetulkan letak tudung di kepala dan tersengih kambing ke arah Madam Kenchana. Aku kemudiannya mengangkat beg bagasi yang berwarna coklat kehitaman itu segera dan meletakkannya ke dalam bas yang telah siap sedia disewakan oleh pihak sekolah. iPhone yang berada di tanganku diletakkan kembali ke dalam saku blazer.

Hampir tiga puluh minit bas itu meluncur laju di atas jalan raya. Perjalanan daripada Lapangan Terbang Tullamarine itu tadi akhirnya tiba di Malaysia Hall. Bangunan dua tingkat yang bercat kelabu dengan tulisan perak tertulis “MALAYSIA HALL” dan aksara yang lebih besar dalam Bahasa Melayu bewarna biru tertulis “DEWAN MALAYSIA”  begitu gah berdiri di St Kilda Road ini. Jalur Gemilang yang berkibar-kibar ayu mengikut rentak angin itu menyemarakkan lagi rasa bangga di hati apabila bendera Malaysia itu berkibar megah di bumi asing ini.

Malaysia Hall ini menempatkan sementara pelajar-pelajar Malaysia yang masih belum mendapat tempat tinggal yang kekal sepanjang pengajian mereka di sini. Malah, di sini jualah tempat pertama yang layak bagi pelajar-pelajar ini untuk menyesuaikan diri berada di bumi asing kerana semua pelajar di sini adalah daripada Malaysia. Sudah pasti terdapat persefahaman di antara hati-hati mereka kerana budaya yang wujud di Malaysia. Malaysia Hall ini juga menjadi tempat berkumpul pelajar-pelajar Malaysia sekitar Australia untuk meraikan perayaan besar seperti Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri. Suasana meriah semestinya tidak sama jika dibandingkan dengan suasana di Malaysia tetapi cukup untuk menghilangkan sedikit rasa rindu pada tanah air.

Sambutan hangat yang diberikan oleh Encik Hasrul selaku ketua warden di rumah Malaysia itu sangat membuatkan rombongan daripada Sekolah Bintang Utara itu tidak langsung terasa janggal untuk berada di sini. Puan Asiah selaku ketua rombongan pula memberikan taklimat kepada anak-anak muridnya yang seramai lima belas orang. Sudah pasti, bukan senang berjalan jauh, walaupun dengan pelajar yang hanya sedikit, tetapi jiwa remaja yang bergelora hebat, semestinya menyukarkan kawalan guru-guru.

Encik Hasrul kemudiannya memberikan kunci bilik masing-masing kepada peserta rombongan. Kesemua lapan peserta lelaki diberikan dua buah bilik bersama, manakala empat pelajar perempuan berada dalam satu bilik dan tiga yang lain terpaksa berkongsi bilik dengan pelajar senior yang menuntut di Melbourne ini. Aku tidak terkecuali dalam kelompok tiga orang itu. Aku sememangnya sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama rakan baikku itu tetapi apabila difikirkan balik, seronok juga nanti jika berada bersama dengan kakak senior yang bernama Anis itu. Dapatlah aku menimba pengetahuan yang mencurah-curah daripada Kak Anis.

Hari pertama di Melbourne banyak dihabiskan dengan menjelajah sekitar bandar Melbourne. Tidak berani sangat ingin berjalan jauh kerana takut sesat di bumi asing. Nanti tidak semena kena buat laporan polis kerana kehilangan pelancong. Jadinya, petang itu, aku dan beberapa rakan yang lain hanya menjelajah ke sekitar Albert Park Lake. Athirah yang agak peramah senantiasa menawarkan mulutnya untuk bertegur sapa dengan warga Melbourne yang kami sama-sama temui. Sebenarnya, teguran yang disapa bukanlah untuk berkenal dengan budaya setempat semata, tetapi juga untuk mengisi portfolio lawatan yang telah disisipkan sekali oleh pihak sekolah sepanjang lawatan ini. Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) memang begini caranya.

Malam itu, setelah penat berjaulah di sekitar bandar terdekat dengan Malaysia Hall, aku membawa pulang Lord of the Fries, kentang goreng bersama sos manis istimewa yang semestinya halal untuk dimakan kerana restoran tersebut sendiri menunjukkan tanda halal daripada badan kerajaan Australia. Ketika aku pulang ke bilik, Kak Anis sedang asyik menuturkan bicara-bicara manis bersama suaminya melalui Skype di atas katil. Merah padam muka Kak Anis apabila melihatkan aku memasuki ruang bilik yang menempatkan dua meja tulis bersama cork board di hujung ruang bilik.

Setelah beberapa ketika Kak Anis mematikan talian di Skype, dia mengambil Al-Quran bewarna merah hati di atas mejanya sambil mengenakan tudung ke kepala. “Haifa, jom baca surah Al-Mulk sekali dengan akak.” Kata-kata Kak Anis membuatkan aku terpana seketika. Tanpa banyak soal, aku mengambil tudung Indon yang bewarna hitam dan mencari-cari aplikasi Al-Quran dalam iPhone aku yang selama ini jarang aku buka. Lalu, aku menempatkan diriku duduk bersebelahan dengan Kak Anis.

“Tahu tak kenapa kita baca Al-Mulk sebelum tidur?” Kata Kak Anis setelah menyelesaikan bacaan surah tersebut.

Darah serta-merta menyerbu ke wajah mulusku. Entah mengapa aku tetap menggelengkan kepala meski malu mula menyelubung diri.

“In sha Allah dengan membaca surah Al-Mulk ini, kita akan terhindar daripada azab di dalam kubur kelak.” Sambung Kak Anis sambil tersenyum.

“Maaf tadi akak tak sedar Haifa masuk bilik.” Kak Anis menukar topik apabila melihatkan mukaku agak berubah.

“Eh, tidak mengapa Kak Anis. Ceritalah bagaimana akak kenal dengan suami akak.” Aku tersengih. Sebetulnya, aku tidak kisah pun kalau Kak Anis nak menyambung tafsir ayat quran tadi atau nak bagi ceramah percuma padaku. Hati aku yang selama ini kontang dengan berbagai-bagai anasir, membuatkan hatiku jadi sejuk apabila mendengarkan kalam-kalam Allah tadi. Namun, jetlag yang aku alami membuatkan mukaku mungkin nampak sedikit letih.   

Kak Anis dengan muka yang tersipu-sipu membuka ceritanya. Sangat menarik apabila suaminya kini berada di Ipoh bersama anak dan ibu mertuanya serta bekerja sebagai doktor pediatrik. Rindu yang menebal pastinya berlaku apabila hubungan dalam jarak jauh begini. Kata Kak Anis lagi, yang saling menguatkan hubungan antara mereka adalah kerana dasar iman yang tertanam dalam cinta mereka. Aku terfikir sejenak, aku dan teman lelakiku itu, Afiq, bercinta. Bercinta atas dasar imankah?
***
Keesokannya, setelah bersarapan di kantin Malaysia Hall, semua anggota rombongan bergerak menuju ke Flinders Street Station yang merupakan stesen kereta api utama di bandar Melbourne. Bangunan bewarna bata yang begitu gah berdiri ini memperlihatkan ciri-ciri klasik yang unik dengan kubah kehijauan dan terdapat jam besar padanya. Terpaku kami semua sekali lagi apabila melihatkan Federation Square di sebelah kanan kami. Aku rasa bangunan binaan kaca dan beberapa campuran lain yang terdapat di situ agak futuristik dengan bentuk bangunan yang aku tak tahu berapa segi geometrinya dan sangat moden.

Aku terpandang Muzammil membetulkan letak headphone di telinganya. Entah lagu apa yang dihentak-hentak ke telinganya sampai tidak mendengarkan panggilan nyaring Madam Kenchana. Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala sambil mengambil kad tram daripada Puan Asiah. Kad tram yang bewarna biru ini berfungsi seperti kad Rapid KL ini diperlukan untuk menaiki kereta api, tram mahupun bas di sini. Destinasi hari ini adalah ke Minaret College di Springvale. Minaret College ini boleh dikatakan sebagai sekolah swasta Islam di Melbourne.

Suatu rasa ketenangan yang halus wujud dalam diri apabila mendapat sambutan yang sangat meriah daripada pihak sekolah. Mungkin kerana wujud satu fahaman akidah yang sama, kami senang bergaul mesra bersama mereka. Malah, kami semua turut hadir bersama ‘buah tangan’ kami daripada Malaysia iaitu persembahan seni silat gayung. Aksi lincah Harith, Bairuni, dan Hadi menambat hati semua pelajar di sekolah tersebut. Aku turut sama terpegun dengan kecekapan mereka bersilat. Semestinya tujuan kami semua hadir ke sini bukan sebagai lawatan sekolah semata, tetapi ingin mewujudkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia. Ini bermakna, duit SBT tidaklah dihabiskan begitu sahaja tanpa ada manfaatnya.  
***
Suatu malam yang agak lapang daripada aktiviti, Encik Zamri mengajak semua peserta rombongan berjalan-jalan ke Sungai Yarra. Ada pertunjukan bunga api katanya pada setiap malam Rabu begini. Angin sejuk meresap terus ke tulang-temulang. Perasaan gembira yang teramat apabila setiap patah kata yang keluar daripada mulut, asap sejuk turut keluar bersama. Keterujaan bertambah apabila melihat bandar Melbourne yang bercahaya hasil daripada lampu yang bewarna-warni di setiap penjuru bangunan.
            
          Mataku terpandang Muzammil yang mengambil tempat untuk duduk berseorangan di bangku yang berhadapan dengan Melbourne Aquarium di seberang Sungai Yarra ini. Aku dengan tidak semena mengambil pantas headphone yang terletak kemas di telinga Muzammil.

“Eh, kau apa hal?” Suara Muzammil naik satu oktaf apabila daripada tadi terkumat-kamit melagukan sesuatu daripada mulutnya.

“Lagu apa kau dengar ni? Khusyuk sangat.” Selamba aku membalas.

“Hikmah Kembara. Mirwana” Muzammil menarik nafas dalam dan membiarkan aku mengenakan headphone ke telinganya. Namun, tangan kirinya yang memegang MP4 itu memperlahankan sedikit suaranya.

“Apa yang kau dapat bila datang Australia ni?” Muzammil bertanya kepada aku yang sudah daripada tadi duduk di sebelahnya.

“Hmm. Aku dapat kenal sosio budaya dia. Peramah. Baik. Suka tolong orang, tak kisah bangsa apa sekali pun. Negara ni bersih, sejuk mata memandang.” Jujur aku membalas kembali.

“Selain tu, ada lagi?” Muzammil menyoal bagai watak McGarrett dalam cerita Hawaii Five-O.
Aku memandangnya sekilas. Aku menggeleng.

“Kau tahu, semua ciri yang kau sebut tu, Islam dah ajar kita lama dah. Tapi yang duduk sibuk mengamalkannya ialah orang-orang yang bukan Islam ni lah. Kita ni hanya mampu bising dalam Facebook, bertelagah sana sini pasal Islam tapi tak cuba nak amalkan Islam dalam kehidupan seharian.”

Muzammil tergelak kecil dan tersenyum, menampakkan lesung pipit di sebelah kirinya. Hati nakalku berbisik, “Tolonglah jangan buat muka macam tu. Cair aku tahu tak?”

Sekilas, Muzammil memandang aku kembali. “Kau dengar tak aku cakap apa?”

“Ya. Dengar.” Aku memandang kembali ke depan. “Kenapa tak ada pun bunga api tu?” Tiba-tiba hati kecilku bertanya.

Muzammil menyambung lagi. “Islam is the way of life. Kita ni kadang-kadang tak sedar nikmat yang Allah dah bagi kat kita. Kita buat perkara yang Allah larang, tinggalkan apa yang Allah suruh. Ahad ni kita dah nak balik KL, aku harap kau dapat luaskan lagi cara pandang kau dekat sekeliling dengan mata hati kau.”

Lama mataku memandang Muzammil. Dalam sekali maksud yang dia cuba sampaikan. Sepi seketika ruang udara dengan suara ketika itu. Hanya playlist yang bergema di ruang telinga ketika itu telah teralih kepada zikir Laillahaillallah daripada Hafiz Hamidun. Meresap terus ke hati aku yang kering. Kalimah itu, dilafazkan hampir setiap hari dalam bacaan tahiyat pada setiap solat. Namun, sejauh mana kita semua ini menegakkan kalimah syahadah itu?
***
Pagi ini, roti yang disuakan ke mulut rasa lebih enak daripada sebelum-sebelum ni. Alhamdulillah. Nikmat makan roti yang sesedap ni dengan scrambled egg dan baked beans ni tak dapat dirasakan oleh masyarakat yang kebuluran, yang sedang ditindas seperti di Palestin dan Syria. Benarlah daripada novel-novel travelog yang pernah aku baca sebelum ni, seperti Travelog Di Hamparan Shamrock, aku dapat simpulkan “Islam tu dapat dilihat di negara orang berbanding di negara sendiri.”


Selama ini aku sangat liat kalau nak bangun awal untuk solat subuh. Walaubagaimanapun, sejak aku duduk berbual dengan Muzammil tempoh hari, aku merasakan, aku perlu menggunakan waktu yang berbaki ini sebaiknya. Ya, aku sedar betapa drastiknya perubahan yang aku buat. Perubahan inilah yang aku idam-idamkan selama ini sbenarnya. Cuma aku tiada kekuatan melakukannya. Setiap malam aku melihat Kak Anis bangun awal untuk qiyammullail. Jadi, aku memesan kepada Kak Anis agar mengejut aku bersama untuk solat bersama.

Rasa ketenangan terus-menerus masuk ke jiwa yang meronta-ronta inginkan ‘nur’ ini apabila tunduk sujud pada Yang Maha Kuasa, Yang Maha Penyayang, lebih-lebih lagi di pagi yang bening dengan kesejukan tubuh menguasai diri. Malah, Kak Anis turut menawarkan diri untuk berkongsi banyak ayat al-quran kepada aku sementara menunggu waktu subuh. Salah satunya tentang zina. Hati aku terpukul dengan kata-katanya apabila mengatakan hubungan aku dengan Afiq itu sebenarnya salah. Memang sukar untuk aku meninggalkan Afiq. Dia menasihati aku dengan cara yang sangat berhemah, yang membuatkan aku boleh terima nasihat dia.

“Pengorbanan itu memang pahit sebab syurga itu indah. Begitu juga kalau kita nak buru syurga Allah. Hendak peroleh redha Allah tu, kita kena tempuh banyak lagi jalan yang berduri, yang menyakitkan kita, yang meletihkan diri kita untuk kuat berpegang pada taliNya. Tapi, kita kena ingat, yang penat, yang letih itu lah, yang dikira Allah. Dia uji kita sebab nak kita dekat dengan Dia, sebab dia sayang kita.”

Sempat juga tadi, sebelum Kak Anis berangkat meninggalkan bilik untuk menghadiri usrah katanya, dia memberikan aku sehelai tudung bewarna pink berjenama Akel dan sebuah novel yang bertajuk “Contengan Jalanan” daripada Hlovate. Aku sebak bila terpaksa berpisah dengan Kak Anis. Dia banyak ajar aku perkara yang selama ini aku buat tak tahu. Dia juga ada memesan agar aku tetap kuat, menjalani hidup yang mencabar selepas ini. Tidak semua orang dapat terima perubahan kita.

Encik Zamri dan Puan Norliza telah memanggil anak-anak muridnya untuk membawa semua bagasi ke dalam bas yang sudah siap tertunggu di luar Malaysia Hall. Memang berat dan perit bagi aku meninggalkan bumi asing ini. Banyak kenangan yang terlakar indah antara aku dan bandar pelabuhan yang terkenal di Australia ini bersama juga dengan penduduk setempat di sini atau lebih dikenali dengan panggilan Aussie. Kaki aku melangkah kaku ke tangga bas dan berpaling semula ke Malaysia Hall.

Aku teringat bila mana kami semua menghabiskan hari Khamis dan Jumaat yang lalu ke Mornington Secondary College dan La Trobe University. Satu pengalaman yang amat terkesan dek hati apabila aku memerhatikan perbezaan sambutan yang diberikan oleh orang bukan Islam dengan orang Islam. Mungkin jarang bagi orang Islam kelihatan di sini, tetapi iman yang kukuh di dalam hati membuatkan mereka terus kuat berada di negara yang amat sekular sebegini.

Apabila berada di Mornington Secondary College, ada seorang tenaga pengajar di situ menanyakan kepada Nabilah tentang tudung yang dipakainya.

“Why do you wear the scarf like that old ladies? Oh, it is cold outside, right?”

Aku tidak menyalahkan guru yang mengajar subjek fashion barangkali atau mungkin subjek Kemahiran Hidup seperti di sekolah, kerana aku tahu, dia tidak mengerti apa itu Islam sebenarnya. Bukankah itu tanggungjawab kita untuk menyedarkan mereka? Apa yang berlaku ketika itu, aku, Najihah dan beberapa rakan lain hanya mampu tersenyum kepadanya kerana kami semua tahu, kami pasti tidak begitu berhemah untuk membalas kata-kata yang bagi aku cukup sinis.

Pengalaman sesat di kawasan La Trobe University pula memang suatu hikmah yang melampaui jangkauan aku. Kami semua tersesat ketika hendak mencari tempat solat. Akhirnya, Encik Zamri memutuskan untuk kami semua bersolat di belakang bangunan, di mana di situ, terdapat kawasan padang yang agak lapang tapi lebih tersembunyi. Muzammil mengimami kami pada hari tersebut. Rasa sejuk dahi akibat sujud di situ masih lagi terbekas di jiwa yang mulai terbaja dengan iman yang selama ini dipinggirkan begitu sahaja.

Setibanya aku di LCCT nanti, perkara pertama yang aku perlu lakukan ialah memutuskan hubungan terlarang antara aku dengan Afiq. Biarkan hati ini sakit kerana tidak dicintai oleh manusia yang tidak sepatutnya, tetapi jangan biarkan hati sakit kerana tidak mendapat kasih daripada Maha Pencipta. Sementara menunggu untuk pesawat berlepas, aku membuka lagi aplikasi Al-Quran dalam iPhone yang menjadi teman aku sepanjang berada di negara bertuah ini. Aku mencari-cari surah yang pernah diberitahu oleh Kak Anis usai membaca surah Al-Mulk semalam, surah Al - Hasyr ayat sembilan belas.

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik-derhaka.”

Aku dapat rasakan mataku hangat dan berair. Selamat tinggal Australia. Selamat tinggal ‘masa gelap’. Selamat datang sinaran hidayah. Alhamdulillah.


No comments: